jauh perjalanan

Daisypath Vacation tickers

Wednesday, January 18, 2012

Winter Roadtrip 2011 : NASA Johnson Space Center dan Downtown Aquarium, Houston, Texas

December 21, 2012

pagi ini akan meninggalkan The Colony dan menuju ke Houston. perjalanan memakan masa selama 4 jam lebih. sebelum bergerak meninggalkan rumah Aunty Linda, sempat lagi mengisi perut. tak cukup dengan itu, Aunty Linda siap bekalkan kami dengan bekalan yang sangat banyak. air kotak, roti, sandwich, nasi goreng, ayam goreng, biskut dan chips. bonet kereta yang memang sedia penuh dipenuhkan lagi dengan bekalan makanan yang sangatlah banyak. terima kasihlah Aunty Linda kerana susah payah sediakan semua bekalan. sebelum itu, sempat bergambar dengan Aunty Linda. setelah beberapa cubaan, barulah dapat menangkap gambar yang bagus.


bergambar di rumah Aunty Linda


sampai di Houston lebih kurang jam 3 petang. Houston adalah bandar ketiga terbesar di Amerika Syarikat selepas Chicago dan New York. dapat juga jejakkan kaki di bandar besar setelah satu semester menghabiskan masa di dalam suasana kampung. boleh ku katakan Houston adalah bandar besar yang tersusun cuma tidak dapat ku pastikan sama ada kereta banyak atau tidak memandangkan tiba di sana beberapa hari menjelang Krismas. pasti ramai yang sudah bermula cuti dan menghabiskan masa bersama keluarga. tengok bandar Houston buat hati ini rindu pada KL pula. dengan bangunan yang tinggi-tinggi dan berkaca, mestilah akan teringat pada KLCC. tapi Houston memang jauh lagi baik daripada KL kot. 


bangunan-bangunan tinggi di Houston


daripada Downtown, Houston, bergerak terus ke NASA. dah si Helmi buat major in Aerospace, mestilah benda ini menarik perhatian dia. kami berempat lain yang buat major in Actuarial Science ikut je sebab manalah tahu kot-kot dapat timba ilmu baru. sampai je pintu masuk NASA, rasa macam teruja pula. tengok dari luar macam tak ramai orang tapi dah sampai di tempat letak kereta, punyalah banyak kereta yang ada. seperti biasa, tipikal orang Malaysia yang malas nak jalan jauh-jauh, carilah kami tempat letak kereta yang paling hampir dengan pintu masuk. 


 NASA Johnson Space Center


sebelum masuk, dapatkan dulu City Pass di kaunter. bayar $39 dan dapat pergi 5 tempat menarik di sekitar Houston. kira dapat jimat lebih kurang $30 kalau beli City Pass ni dan valid untuk 9 hari. nak jimat punya pasal, layan je lah. sebelum masuk ke dalam NASA, pemeriksa beg dilakukan. maklumlah, takut ada orang bawa barang yang bukan-bukan kot. sebagai langkah keselamatanlah katakan. 
 

di bahagian depan NASA


di bahagian depan NASA ini, banyak benda menarik yang disediakan untuk kanak-kanak. tapi yang perasaan, bukan kanak-kanak yang banyak main daripada kanak-kanak kot. permainan yang disediakan memang buat kita berfikir untuk selesaikan masalah yang disediakan. memang rasa geram kalau tak dapat selesaikan. kalau ikut hati, rasa nak hentak-hentak kaki jer. tapi nasib baik sedar yang diri ni dah tua. kalau tak malukan diri jer. dah puas jalan-jalan kat kawasan hadapan, bergerak ke bahagian belakang. ada tram tour disediakan bagi peluang kepada para pelancong untuk melawat ke kawasan sekitar NASA.


Tram Tour in NASA


kalau nak masuk bahagian hadapan NASA ni pun dah kena check bag, apatah lagi nak masuk ke dalam kawasan NASA beroperasi. bukan takat check beg, tapi ala-ala macam check nak naik kapa terbang tu. kena buka semua jam, tali pinggang, outerwear dan juga telefon kena letak luar juga. sabar je la. sebab nak melawat punya pasal, layan je lah. disebabkan di Dallas semalam suhu biasa-biasa sahaja, ingatkan benda yang serupa berlaku di Houston. tapi sebaliknya berlaku. pakai baju yang tak cukup tebal, terpaksalah tahan sejuk sepanjang masa di atas tram. angin sepoi-sepoi bahasa tiup. memang sejuk tak tahan. tapi tabahkan juga hati.

berkesempatan masuk ke dalam bangunan yang menyediakan peralatan untuk para angkawasan menjalankan latihan sebelum berlepas ke angkasa lepas. dapat melihat sendiri bentuk kapal angkasa yang digunakan untuk terbang ke angkasa lepas. walaupun banyak yang dah cerai berai, dapat lihat sedikitpun jadilah. semua itu terletak di dalam bangunan seluas 10 kali ganda padang bola sepak. ada satu kapal angkasa tu, kelajuannya sangat laju. kalau dari Houston ke Perancis, mengambil masa 18 minit untuk sampai. kalau balik Malaysia naik kapal angkasa tu, tak sampai 30 minit dah sampai Taiping kot. pada masa lawatan itu, ada beberapa saintis tengah bertungkus lumus lakukan kerja mereka. mungkin sedang sibuk buat research atau sedang memperbaiki peralatan yang bakal digunakan oleh para angkasawan. sekali tengok, bangunan-bangunan dalam kawasan NASA ni ala-ala macam bangunan di Universiti Kebangsaan Malaysia. sekali pandang memang nampak macam sama jer tapi dua kali pandang, ada nampak beza jugalah. sebab sekeliling tempat ini dipenuhi dengan tong gas nitrogen yang besar gila. tapi tak pasti pula apa gunanya tong-tong tu semua.


bergambar dan bergambar di dalam kawasan NASA


puas hati jugalah dapat masuk NASA. usaha juga cari kalau-kalau terjumpa gambar sheikh muzafar tapi tak jumpa pun. nak jumpa macam mana sebab dia pergi dengan para angkasawan dari Russia. kalau nak jumpa, kena pergi pusat latihan angkawasan kat Russia la kot. dah penat jalan-jalan selamat hampir 3 jam dalam kawasan NASA, tibalah masa untuk mengisi perut dengan bekalan dari Aunty Linda. bayangkan makan ala-ala piknik di kawasan taman sekitar NASA dengan keadaan yang sejuk. lapar punya pasal, tak peduli pun sejuk tu. kenyang perut, bergerak kembali ke Downtown. disinilah terletaknya Downtown Aquarium. kalau lalu kat highway, dari jauh dah nampak tempat menarik ni.


Downtown Aquarium, Houston


sebab ada City Pass, tak perlu nak beratur panjang untuk masuk. inilah untungnya kalau ada City Pass. Downtown Aquarium ni biasa-biasa jer. penuh dengan ikan dan hidupan laut yang lain. yang nampak menarik pasal ikan dan hidupan laut adalah susun atur dan pencahayaan yang digunakan. sempatlah ambil beberapa gambar yang menarik tanpa flash digunakan sebab dah diwarning awal-awal. agak-agak kalau guna flash juga, apa yang bakal berlaku ek? ikan dan hidupan laut tu mengamuk ker? 


layan je la walaupun tak seronok sangat pun tempat ni


kat sini juga disediakan persembahan harimau putih dari Thailand. ada dua ekor. jantan dan betina. tapi malam ini adalah giliran di betina. harimau putih ini ada nama tapi kelupaan pula apa namanya. budak-budak yang ada tak takut sebab masing-masing duduk paling depan. siap menjerit-jerit kesukaan bila harimau datang dekat. tu pun sebab ada cermin pun. bayangkan kalau tak ada cermin, agak-agak berani tak budak-budak tu nak duduk paling depan? 


 posing dengan replika harimau putih


geram tengok  semua patung ni. comel-comel belaka.


ikutkan, tak adalah menarik sangat Downtown Aquarium ni. sebab dah bayar tiket punya pasal, cuba rasa teruja nak tengok tempat ini. tapi sejujurnya, lagi rasa menarik nak ambil gambar kat kawasan ini sebab lampu-lampu yang ada adalah sangat lawa. keluar dari tempat aquarium, kat luar ada disediakan beberapa aktiviti yang jauh lagi menarik. tapi yang tak bestnya kena beli tiket lain kalau nak main aktiviti yang disediakan. memandangkan hari dah malam, tak semua benda dapat main. yang peliknya, depa yang lain biasa-biasa je tapi aku yang paling tua gembira terlebih nak main. siap buat muka kasihan dan minta simpati nak naik diving bell ferris wheel dan aquatic carousel. saja gedik-gedik nak main sebab tahu dah malam. bila dah malam, tak ramai orang, dengan keadaan gelap, tak adalah rasa segan sangat nak main kan. layan je la tapi kejap sangat dua-dua benda tu pusing. kurang dari seminit rasanya.


sekitar Downtown Aquarium


antara dua rides tu, paling menarik adalah diving bell ferris wheel. aku ni gayat sedikit tapi kadang-kadang lupa yang diri ni gayat. dah naik dan bila benda tu dah mula bergerak, baru teringat yang takut pada ketinggian. menggigil juga dibuatnya sampaikan yang lain ketawa tengok reaksi aku. dalam takut-takut tu, cuba beranikan diri untuk lihat keadaan keliling. sebab suka tengok bangunan pada waktu malam di hujani dengan cahaya lampu yang warna warni. pada masa yang sama, berdoa juga moga benda ni bergerak perlahan. dan dan doalah ride ni bergerak sedikit laju tapi tak lama. fuh, nasib baik. dah sampai kat bawah, rasa pening-pening sedikit. nasib baik tak pitam jer.
 

permandangan bandar Houston pada waktu malam


seharian di Houston adalah satu perkara yang gembira. Houston telah buat aku jatuh cinta padanya. mungkin sebab ini bandar besar yang tersusun dan bandar maju yang lawa dari pandangan kasar. malam itu, terdapat beberapa masalah pula yang timbul. jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan masih tidak ada tempat untuk tidur. cuba mencari masjid tapi semua masjid sudah tutup. cuba mencari pula camping area tapi terjumpa private place pula. akhirnya semua give up dan bersetuju untuk tidur lagi di Motel 6 yang berdekatan. terasa Motel 6 macam dah jadi penaja tempat tidur kami berlima je. aik, penaja apanya kalau kena bayar juga kan. 

bersambung.....

0 comments:

:)

 

Blog Template by YummyLolly.com : PS Brushes by Obsidian Dawn